skip to main |
skip to sidebar
Sabtu, Desember 01, 2012
Unknown
No comments
Oleh: Muhammad Khoerudin
Setiap Hari Berapa Kali Kita Ingat Allah?
"Siapakah kita? Dari mana kita datang? Ke mana kita akan dikembalikan?
Kesemua persoalan ini akan membawa kita kepada Pencipta Yang Satu yakni
Allah Rabbuljalil. Selamilah ke dalam diri sendiri sejauh mana kita
menyedari hakikat bahawa manusia walau sehebat dan setinggi mana
kedudukannya diatas muka bumi ini namun yang memisahkan darjat manusia
disisi Allah hanyalah Iman dan Takwa.
Seorang teman pernah
mengingatkan bahawa dunia ini ibarat penjara dan manusia adalah ibarat
banduan yang menanti masa ke tali gantung. Bezanya hanyalah banduan yang
dihukum mati mengetahui bila masanya dia akan digantung sementara kita
tidak, hanya menanti masanya. Sudahkah kita bersedia melaluinya?
Perhatikanlah disekeliling kita, betapa besarnya kurniaan nikmat Allah
untuk manusia. Bangkit daripada tidur adalah satu nikmat, dapat membuka
mata dan melihat adalah nikmat, memandang cermin dan melihat diri kita
dari hujung rambut ke hujung kaki terasa begitu agungnya kejadian Allah.
Itu hanya setakat diri kita sendiri, belum lagi memandang keluar
tingkap melihat langit yang terbentang luas yang tidak ada siapa yang
mengetahui betapa luasnya ia. Sesungguhnya ilmu Allah itu tiada batasnya
sepertimana ilmu manusia kerana Dia adalah Al-khaliq. Sedarlah siapa
kita wahai sekalian manusia, kita ini adalah hamba, hamba abdi kepada
Tuhan yang satu yakni Allah.
Cuba hitungkan berapa lama sudah
kita menumpang hidup diatas bumi Allah ini? 20 tahun? 40 tahun? 60
tahun? Selama kita hidup dengan menikmati segala nikmat yang Allah
berikan ini, apa yang telah kita lakukan untuk membayarnya? Allah tidak
menagih hambaNya untuk membayar dengan wang ringgit dan harta benda, apa
yang Allah kehendaki hanyalah ketaatan kita sebagai hambanya. Selama
kita hidup, adakah kita benar-benar taat dengan segala perintahnya
sebagai 'Tuan' kepada kita? Allah memerintahkan kita solat apabila masuk
waktunya, adakah kita taat? atau kita masih sibuk dengan urusan dunia.
Tidak merasa bersalahkah kita membiarkan 'Tuan' menanti kita untuk
mengadapNya. Tanyalah diri masing-masing 'selama kita hidup, apa yang
telah kita lakukan untuk Allah dan agamanya?' dan 'setiap hari berapa
lama kita mengingati Allah?. Sehari ada 24 jam dan dalam waktu sebanyak
itu, berapa saat, berapa minit, berapa jam kita mengingati Allah?
Renungkanlah betapa lalainya kita sebagai hamba, seandainya kita hanya
mengingati Allah disaat kita solat dan satu waktu solat itu mengambil
masa kira-kira 10 minit, ini bermakna dalam 24 jam hanya lebih kurang
satu jam kita mengingati Allah. Bayangkan kita telah menghabiskan 23 jam
untuk urusan dunia. Ini bukan bermakna kita tidak perlu bekerja, tidak
perlu makan dan tidak perlu minum tetapi ingatlah kepada Allah dalam
setiap apa yang kita lakukan. Bekerja dengan penuh iltizam agar hasil
rezeki darinya dapat kita nafkahkan sebahagiannya ke jalan Allah, makan
dengan penuh ingatan bahawa apa yang kita makan itu adalah rezeki
kurniaan Allah. Itulah ertinya seorang hamba yang bersyukur.
Hari ini, Allah menguji kita dengan bermacam-macam bencana yang datang
bertimpa-timpa, belum pun habis dengan krisis ekonomi, Allah datangkan
pula dengan wabak penyakit chikugunya, denggi, influenza A H1N1 dan
sebahagian negara dilanda gempa bumi, ribut taufan dan sebagainya.
Sejauh mana manusia mengambil segala bala bencana ini sebagai ujian dari
Allah? Tingkah laku manusia masih kelihatan seperti biasa, tiada resah,
tiada gusar dan tiada bergantung harap kepada Allah. Benarlah syaitan
itu akan terus melalaikan dan melekakan manusia sehingga nyawa berada
halkum, sehingga pintu taubat telah tertutup untuk manusia.
Kembalilah kepada Allah, mohonlah ampun kepadanya sementara pintu taubat
masih terbuka luas, perbaikilah segala amalan, panjatkanlah doa dan
harapan agar pancaran hidayah dari Allah menerangi hati kita yang gelap
dan kelam dengan selaput dosa-dosa silam....
Sumber: http://www.facebook.com/groups/channelnahdliyin/permalink/473131419404682/
Posted in: Kajian Keilmuan Islam
Kirimkan Ini lewat Email
BlogThis!
Berbagi ke Facebook
0 komentar:
Posting Komentar